Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran:104)

Wednesday, January 6

Ayuh Kemaskan Gerak Kerja Pejuang-Pejuang Islam!

Salam Ukhwah Fillah kepada sahabat-sahabat sepejuangan Biro Agama dan Kerohanian JPP IPG Kampus Ipoh dan seluruh pelatih-pelatih IPG Kampus Ipoh. Selamat kembali ke bumi IPG Ipoh untuk memulakan semester baru dengan semangat baru.

Alhamdulillah, semakin hari semakin mantap Biro Agama dan Kerohanian JPP IPG Ipoh apatah lagi dengan kehadiran wajah-wajah baru atau para dai' baru iaitu pelatih-pelatih unit J (PPISMP Ambilan Julai 2009) yang ingin bersama-sama memikul beban dakwah dan bernaung di bawah lembayung rahmat Allah dalam memperjuangkan agama suci Islam di bumi IPG Kampus Ipoh. Malah kehadiran pelatih-pelatih unit J ini juga telah memberi wajah baru dalam struktur tanzim Biro Agama dan Kerohanian yang semestinya lebih 'fresh' dan mantap dalam menyebarkan fikrah Islam. Ini kerana berkuatkuasa tahun 2010, penstrukturan Biro Agama dan Kerohanian JPP telah secara rasmi dilakukan dengan terdapat pertukaran ketua-ketua lujnah dan timbalan-timbalan ketua lujnah. Manakala ahli lujnah juga diberi peluang untuk berehat, meneruskan berkhidmat atau menukar lujnah mengikut kesesuaian dan kemampuan. Alhamdulillah, berkat rahmat daripada Allah organisasi baru Biro Agama dan Kerohanian JPP IPG Ipoh telah berjaya dibentuk. Selain itu, terdapat juga perubahan lujnah di mana Lujnah Tugas-Tugas Khas telah ditukarkan kepada Lujnah Riadah dan Rekreasi setelah dikaji dan dipersetujui oleh AMT Biro. Ini tidak lain adalah untuk memantapkan lagi Biro.

Namun harus diingat bahawa tugas memperjuangkan agama Allah ini bukanlah seperti duduk di sebuah kerusi yang empuk dan selesa, jalannya penuh liku dan mencabar yang menuntut pengorbanan yang besar daripada kita semua. Hanya yang benar-benar ikhlas sahaja yang mampu menggalas tugas dan tanggungjawab ini.

Kepada seluruh ahli Biro Agama dan Kerohanian ini pesanan untuk kita semua

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah Dengan jihad Yang sebenar-benarnya Dia lah Yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah Dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. ia menamakan kamu: "Orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di Dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah). oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.

(Al-Hajj: 78)


Dalam hadits lain, Rasulullah saw. bersabda, “Berbuatlah sesuai dengan kemampuanmu, sesungguhnya Allah tidak akan merasa bosan sampai kamu sendiri yang merasa bosan. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang terus-menerus sekali pun sedikit.” (Mutafaq ‘alaih)


"Hari ini kita sedang menghadapi suatu realiti bahawa perjuangan menyambung lidah baginda Rasul saw. semakin sengit dan getir. Suatu realiti yang memaksa kita memiliki segala kekuatan dalaman dan luaran.
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."

(As-Syahid Hasan Al-Banna - Tokoh Pejuang Islam)


Sedarlah bahawa sekarang bukanlah lagi masa untuk menilai siapa hebat antara kita, siapa yang paling tinggi pangkatnya dan berasa senang dan cepat berpuas hati apabila dihidangkan dengan kemenangan dan kesenangan hidup. Ingatlah sahabat-sahabat, matlamat kita yang paling utama ialah untuk mendapatkan kesenangan di akhirat kelak.

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".

(An-Ana'am 162-163)

Usah dihiraukan pangkat kita setinggi mana sekalipun kerana di sisi Allah hanya keihlasan dinilai, maka berjuanglah untuk agama Allah ini walau di mana sekalipun lapangan kita.

Di kesempatan ini juga, pihak admin Blog Biro Agama dan Kerohanian JPP IPG Kampus Ipoh ingin mengucapkan tahniah dan selamat berjuang kepada pimpinan-pimpinan baru Biro Agama dan Kerohanian JPP dan selamat meneruskan perjuangan buat ahli-ahli yang masih istiqamah bersama Biro.

Firman Allah dalam surah Fath ayat 10 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang Yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka Hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). oleh itu, sesiapa Yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa Yang menyempurnakan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala Yang besar."

Semoga pimpinan baru Biro Agama dan Kerohanian JPP IPG Kampus Ipoh akan memantapkan tarbiah dan dakwah di IPG Ipoh dan Islam mampu dijadikan cara hidup di kampus ini.

1 comments:

along Nazirah said...

Selamat Berjuang buat pejuang-pejuang muda, penyambung rantai perjuangan.. Moga diberi kekuatan dan ketabahan oleh Allah untuk melaksanakan segala program yang telah dirancang bagi sesi 2010 ini. Moga Biro Agama dan Kerohanian 2010 semakin 'mantop'!!. InsyaAllah.. (^_^)

Powered by Blogger.