Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran:104)

Friday, August 7

Syaaban Yang Istimewa



Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadan itu bulan umatku."
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Istimewanya bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain ialah sehinggakan Rasulullah menganggapnya sebagai bulan baginda. Di mana dalam bulan ini, Rasulullah banyak melakukan ibadat kepada Allah.

Syaaban bermaksud berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana pada bulan itu masyarakat Arab dulu bertempiaran ke serata tempat untuk mencari air, sehingga ada yang mencarinya sampai ke gua.

Ia juga diertikan demikian kerana menjadi 'bulan pemisah' iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.

Amalan Yang Dituntut Dalam Bulan Syaaban

Dalam bulan Syaaban, kita dituntut melakukan sebanyak mungkin amalan sunat seperti puasa sunat dan solat sunat mengikut kemampuan kita sepertimana hadith Rasulullah yang bermaksud:

Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah SAW ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya.
(riwayat Bukhari dan Muslim).


Di dalam riwayat yang lain Ummu Salamah r.a berkata: Aku tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa berturut-turut melainkan pada bulan Syaaban dan Ramadan.
(riwayat Tirmidzi).


"Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak di bulan Syaaban."
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam bulan ini juga kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan dan tidak termaktub kepada amalan-amalan tertenti kecuali puasa sunat yang diterangkan dalam hadith-hadith Rasulullah S.A.W

Oleh itu, sempena bulan Syaaban yang hanya tinggal separuh bulan lagi, ayuh sama-sama rebutlah peluang untuk menggandakan pahala dengan ibadat-ibadat kepada Allah

Semoga ianya pentarbiahan dan persediaan yang baik untuk kita bagi menempuh Ramadhan Al-Mubarak...

Seafdalnya banyakkan ibadat di bulan Syaaban seperti mana Rasulullah S.A.W amalkan

0 comments:

Powered by Blogger.