Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran:104)

Saturday, August 7

IMAM SYAHID HASSAN AL-BANNA : GURU SERTA PEJUANG ISLAM TERKEMUKA


IMAM AS-SYAHID HASSAN AL-BANNA

Imam Hasan Al-Banna adalah anak sulung di dalam keluarganya. Beliau dilahirkan di Mahmoodiah pada bulan Oktober, 1906 M. Keluarga Imam Hasan Al-Banna sangat 'alim dalam ilmu Islam dan Sejarah Islam. Keluarganya juga mengamalkan cara hidup Islam. Imam Hasan Al-Banna mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri. Dalam usahanya menghafal Al-Quran, bapanya telah memberi banyak bantuan.

Tidak lama kemudian, beliau dimasukkan ke sebuah sekolah bernama Madrasah Ar-Rasyad As-Diniyyah. Di sekolah ini beliau berguru dengan seorang ulamak terpelajar yang bernama Muhammad Zahran.

Imam Hassan Al-Banna kemudian terpaksa memilih dua pilihan. Salah satu daripada pilihan itu ialah memasuki Maahad-i-Dini; iaitu sebuah pusat pengajian yang berhubung terus dengan Universiti Al-Azhar. Langkah ini boleh menjadikannya salah seorang ulamak Al-Azhar. Pilihan yang satu lagi ialah memasuki Pusat Latihan Guru Damanhur untuk mendapat Ijazah Perguruan. Hasan Al-Banna memilih memasuki Pusat Latihan Guru Damanhur. Selepas itu tiga tahun berkursus di situ, beliau mendapat pangkat pertama di dalam peperiksaan.

Selesai sahaja kursus perguruan tersebut, beliau telah ditawarkan jawatan guru oleh Pejabat Pelajaran Daerah tetapi beliau memilih untuk menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu ke Universiti Kaherah (Darul Ulum). Ketika itu beliau berusia 16 tahun. Mengikut peraturan, beliau tidak layak memasuki Universiti itu (yakni tidak layak dari segi umur) tetapi peraturan itu dilonggarkan kerana bakat dan keilmuannya yang luar biasa itu.

Apabila beliau mula bertugas sebagai guru di sekolah kerajaan, umurnya baru menjangkau dua puluh satu tahun. Beliau tinggal di Ismailiah schingga tahun 1933 M. Imam Hasan Al-Banna berusaha untuk menjadi seorang guru yang baik dan juga seorang pendakwah yang berjaya. Beliau memulakan usaha dakwahnya di kedai-kedai makan dan kedai-kedai kopi dan bukannya di masjid. Dalam masa yang singkat sahaja, ramai telah menjadi pengikutnya.

Dalam bulan Mac, 1928 M., enam orang penting telah berkumpul di rumah Imam Hasan Al-Banna. Mereka telah bersumpah untuk hidup dan mati kerana memperjuangkan Islam. Perjuangan mengejut ini telah menghasilkan satu pertubuhan yang terkenal dengan nama ‘Al-Ikhwan Muslimin’.

Imam Hasan Al-Banna menjalani kehidupan yang penuh cabaran semenjak kecil sehinggalah beliau menemui ajainya. Beliau tiada mempunyai rehat langsung. Keseluruhan hidupnya ditumpukan kepada perjuangan Islam dan kebajikan orang-orang Islam. Beliau khusyu’ beribadat kepada Allah dan selalu mengkaji Al-Quran serta Hadith. Tokoh Islam yang hebat ini mati syahid ditembak pada 12hb Februari, 1949 di Kaherah. Umurnya ketika itu ialah 43 tahun.

Sumbangannya sangat banyak terutama dalam sejarah gerakan Islam kerana sejak zaman beliau semakin ramai pengikut gerakan Islam Ikhwanul Muslimin di seluruh dunia termasuklah Malaysia namun di sesuaikan dengan suasana di Malaysia namun masih menggunakan kaedah dan strategi yang digariskan oleh Ikhwanul Muslimin iaitu berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Matlamatnya hanya redha Allah dan meletakkan Islam di tempat tertinggi dan bukannya ditindas dan dipijak oleh orang-orang kafir. Al-Mathurat merupakan antara usaha Imam As-Syahid Hassan Al-Banna yang telah mengumpulkan doa-doa dan zikir-zikir yang ma'thur yang merupakan pembaharuan ikrar kepada Allah dalam menjalankan dakwah Islamiah.


SEPULUH WASIAT IMAM AS-SYAHID HASSSAN AL-BANNA
Bacalah — Renungilah — Kemudian Terus Beramal

(1) Apabila saudara mendengar azan, maka bangunlah sembahyang serta merta walau bagaimana keadaan
sekalipun.

(2) Bacalah al-Quran, atau tatapilah buku-buku, atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik ataupun amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali saudara membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tidak berfaedah.

(3) Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul; kerana Bahasa Arab yang betul (itu, adalah satu-satunya syiar Islam).

(4) Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran kosong itu tidak memberi sebarang apa pun jua kebaikan.

(5) Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

(6) Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

(7) Janganlah saudara bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh para pendengar kerana percakapan yang nyaring begitu adalah suatu resmi yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

(8) Jauhilah daripada mengumpat-ngumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.

(9) Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudara Ikhwan Muslimin yang saudara bertemu dengannya sekalipun ia tidak meminta saudara berkenalan; kerana asas gerakan Dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

(10) Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita; oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak mengguna masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri maka ringkaskanlah pelaksanaannya.

"Namun selepas pemergian Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, siapkah penyambung kepada perjuangan beliau untuk menegakkan Islam? Tepuk dada tanya imam :

1. Adakah rasa sayang KITA kepada Islam seperti mana AS-SYAHID IMAM HASSAN AL-BANNA???!!!

2. Masihkah kita punya banyak masa melakukan maksiat dan perbuatan sia-sia sedangkan umat Islam sekarang semakin parah???!!!

3. Adakah sekelumit rasa ingin memperjuangkan agama suci Allah ini dalam hati kita yang akan mencambahkan usaha-usaha yang berterusan untuk Islam???!!!


WAHAI-WAHAI GURU-GURU PENYAMBUNG TUGAS DAKWAH PARA NABI DAN RASUL...HAYATILAH DENGAN MATA HATI!!!

3 comments:

syafiqah said...

assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh...
Ulama` dahulu sanggup menggadai harta dan nyawa demi agama Allah agar Islam terus utuh dan sampai kepada kita...Tetapi kita,adakah kita punya rasa ingin berjuang untuk agama Allah?Di mana kita letak Islam dalam diri kita?Kadang-kadang kita mengaku kita adalah seorang muslim...Namun kehidupan kita jauh terpesong dari landasan yang sebenarnya...Bersamalah kita memuhasabah diri dan meningkatkan prestasi kita dalam menjadi seorang hamba kepada pencipta-Nya...InsyaAllah...

Dx said...

al- ulama' warasatul anbia'

Dx said...

bilkah kita akan menjadi seperti mereka ?

Powered by Blogger.