Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran:104)

Monday, May 16

2

~SELAMAT HARI GURU~


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Salam guru Malaysia

Apa khabar guru-guru dan bakal guru sekalian? 16 Mei pastinya menyimpul senyuman buat semua. Meskipun belum bergelar guru, ucapan Selamat Hari Guru sudah bertandang di wall facebook mahupun di inbox message telefon bimbit. Itu belum dikira mereka yang sudah bergelar guru, berpuluhan tahun mencurah bakti di medan tarbiyah. Ucapan "Selamat Hari Guru" itu menjadi ucapan biasa di telinga.

Memegang gelaran "guru" saja sudah terasa beratnya amanah yang terpikul di pundak apatah lagi memanifestasikan tanggungjawab guru itu sendiri . Menjadi guru bukan kerjanya bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 2 petang, bukan sekadar menyemak buku anak-anak murid dengan tinta merah, bukan saban tahun menanti ucapan "Selamat Hari Guru, cikgu!" daripada anak didik. Tanggungjawab dan amanah sebagai guru menuntut lebih dari itu kerana gurulah "pencetak generasi seterusnya". Apakah 'printout' yang ingin 'dipersembahkan' adalah hasil yang pincang, hasil yang tiada gunanya kepada agama dan manusia? 'Tangan' gurulah yang mencorak anak bangsa. Hitam putih hidup mereka atas usaha guru. Ingin 'membina' jiwa mereka atau 'membunuh' hidup mereka? Gurulah pemula segalanya.



Guru itu nasihatnya mutiara, marahnya sayang, ajarannya lahir dari hati yang ikhlas, tanpa mengharapkan balasan apatahlagi hadiah-hadiah yang mahal setiapkali Hari Guru berkunjung tiba. Selagimana adanya insan bergelar guru itu, selagi itulah bertebarnya ilmu Allah di muka bumi.

Buat para guru yang tiada kenal lelah mendidik, teruskan perjuanganmu. Terima kasih atas pengorbanan mendidik, memanusiakan manusia.
Buat bakal guru, persiapkan dirimu kerana jalan yang dirintis ini kiri kanannya onak dan diri, penuh mehnah dan tribulasi.
Tiada istilah putus asa dalam hidup seorang pejuang. Guru adalah pejuang itu!


SELAMAT HARI GURU!!!

More
Powered by Blogger.